Monday, March 14, 2011

::: Ayat pasif :::

AYAT PASIF
Ayat pasif ialah ayat yang menekankan objek dan perbuatannya berbanding "ayat aktif" yang menekankan si pelaku. Sebenar nya maksud ayat aktif dan pasif adalah sama.
 Untuk pengetahuan pembaca, hikayat-hikayat Melayu dan karya sastera Melayu lama lebih banyak menggunakan ayat pasif.  Ini disebabkan oleh cara hidup atau sikap pasif orang Melayu pada zaman silam dan  mencerminkan budi dan peribadi orang Melayu yang tidak menekankan ego individu.

Penggunaan Ayat pasif:
Ayat pasif ialah ayat yang mana ‘benda kena buat’ terletak di hadapan ( sebagai subjek ayat) manakala “pelaku” terletak di belakang  sebagai pradikat. Contoh nya buku itu dibaca oleh Ahmad.
Buku itu dibaca oleh = subjek(benda kena buat)
Ahmad = pradikat(pelaku)
Jenis ayat pasif:

Ayat pasif terbahagi kepada tiga jenis:
        i. Ayat pasif dengan imbuhan kata kerja pasif.
       ii. Ayat pasif dengan kata ganti diri pertama dan kata kerja ganti diri kedua.
       iii.Ayat pasif dengan perkataan kena yang hadir sebelum kata kerja.
Ayat Pasif dengan Imbuhan Kata Kerja Pasif
-          Ayat pasif jenis ini ialah ayat yang kata kerjanya mengandungi imbuhan kata kerja pasif di- dan ter-.Contohnya:
v  Sampah sarap dibakar oleh adik pagi tadi
v  Istana raja terbina oleh rakyat dalam masa satu tahun.

-          Ayat pasif yang menggunakan kata kerja pasif di-, kata sendi oleh pada binaan oleh+frasa nama yang letaknya selepas kata kerja boleh digugurkan tanpa mengubah maksud ayat. Contohnya:
v  Sampah sarap dibakar adik pagi tadi

-          Ayat pasif dengan kata kerja pasif ter- kata sendi oleh tidak boleh digugurkan, misalnya:
v  Tembok itu terlanggar oleh lori pada bahagian bawah. [betul]
v  Tembok itu terlanggar lori pada bahagian bawahnya. [salah]

-          Ayat pasif boleh juga dibentuk dengan kata kerja yang mengandungi imbuhan ber- dan ke-…an. Dalam ayat ini bahagian oleh + frasa nama tidak diperlukan. Contohnya:
v  Mereka kehujanan sepanjang hari.
Ayat Pasif dengan Kata Ganti Diri Orang Pertama dan Kedua
-          Kata ganti diri nama diletakkan dihadapan kata kerja dasar kerana kedua-dua kata ganti diri nama ini tidak boleh menerima kata kerja dengan imbuhan di-. Misalnya: 
v  Kerja itu sudah kami selesaikan semalam.
v  Makanan itu belum aku rasai lagi.
           Ayat Pasif dengan Kata Bantu Pasif Kena
-          Ayat pasif jenis ini mengandungi perkataan kena di hadapan kata kerja dasar. Binaan oleh + frasa nama boleh secara pilihan digugurkan atau tidak. Contohnya:
v  Pencuri itu kena tangkap oleh polis.
v  Dia kena tipu.

::: Ayat aktif transitif dan ayat aktif tak transitif :::

 Ayat aktif transitif

1) Selain mengutamakan subjek asal sebagai judul, ayat aktif transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja transitif, iaitu yang diikuti oleh frasa nama ataupun klausa komplemen sebagai objek atau unsur penyambutnya.

Tips:
Bagaimanakah kita tahu kata kerja itu transitif?Mudah sahaja. Cuba tanya “Apa?” Selepas kata kerja itu. Jika ada jawapannya, kata kerja itu ialah kata kerja transitif. Kata kerja transitif mempunyai objek.

Contoh : Arif menaiki basikal. Menaiki apa? (ada jawapan)


Contoh :

Dia membeli buah durian.
       subjek = Dia
       kata kerja transitif = membeli
       objek = buah durian


2) Ada juga segolongan ayat aktif transitif yang mengandungi kata kerja yang menerima dua objek sebagai penyambut, iaitu objek tepat dan objek sipi.

Contoh :-  
" Puan Aisyah menghadiahkan anaknya sebuah basikal."
    Puan Aisyah       (subjek) 
    menghadiahkan  ( kata kerja transitif )    
    anaknya              (objek tepat )         
    sebuah basikal    (objek sipi).


3) Ayat aktif transitif juga boleh digugurkan objeknya.

- Objek yang boleh digugurkan itu hanya ganti nama diri orang   pertama.
 
contoh:
"Keberaniannya sungguh menghairankan kami."
subjek =  keberaniannya
kata penguat = sungguh
kata kerja transitif = menghairankan 
objek yang digugurkan = kami

Ayat aktif tak transitif 

1) Ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif, iaitu yang tidak diikuti oleh objek sebagai penyambutnya.

Tips:
Bagaimanakah kita tahu kata kerja itu tak transitif? Mudah sahaja. Cuba tanya “Apa?” Selepas kata kerja itu. Jika tidak ada jawapannya, kata kerja itu ialah kata kerja tak transitif. Kata kerja tak transitif tidak mempunyai objek.

          Contoh : Saya berenang. Berenang apa?(tiadajawapan)
 
2) Ada dua jenis ayat aktif tak transitif :  
     -keterangan yang boleh digugurkan
     -keterangan yang tidak boleh digugurkan 

(i) keterangan yang boleh digugurkan 
    
Contoh : -Kumpulan remaja itu sedang berbual dengan rancaknya.
               -Kumpulan remaja itu sedang berbual.

(ii) keterangan yang tidak boleh digugurkan
     
Contoh : - Dia berada di Kuala Lumpur.
               - * Dia berada.



    

Monday, March 7, 2011

::: Ragam Ayat :::

Ayat songsang

Ayat tunggal dalam bahasa Melayu, selain wujud dalam susunan biasa, boleh juga wujud dalam susunan songsang melalui proses pendepanan atau penjudulan. Dalam susunan songsang unsur-unsur dalam konstituen predikat yang biasanya hadir selepas subjek dipindahkan ke hadapan subjek. Unsur- unsur yang dikedepankan itulah yang hendak diberi penegasan, iaitu melalui proses pendepanan. Dalam bahasa Melayu, proses pendepanan yang berlaku pada predikat adalah seperti yang berikut :

1)    Pendepanan seluruh predikat.

Dalam proses pendepanan seluruh predikat, seluruh konstituen predikat dibawa ke hadapan mendahului subjek. Contoh- contoh proses pendepanan adalah seperti berikut, ayat (a) merupakan susunan biasa manakala ayat (b) ayat songsang yang telah dikedepankan seluruh predikatnya.

Contohnya:   (a) Bapanya petani.
                    (b) Petani bapanya.

(a)  Orang itu sangat rajin.
(b) Sangat rajin orang itu.


Jawapan:a) Bunga melati cantik sungguh.(ayat biasa)
               b) Cantik sungguh bunga melati.(ayat songsang)

Proses pendepanan ini berlaku juga pada ayat tang mengandungi kata penegas –kah, -tah, dan –lah. Dalam hal ini proses pendepanan seluruh predikat adalah wajib. Sebagai contoh, ayat dibawah ini diperturunkan semula seperti berikut :
Contohnya:    (a) Daya kita apa ?
                   (a.i) *Daya kita apatah ?
                   (b) Apatah daya kita ?


     (a)  Bapa saya dia.
     (a.i) *Bapa saya dialah.
     (b)  Dialah bapa saya.


Jawapan:  a) Di hati dia.(ayat biasa)
              a.i) Di hati dialah.(imbuhan-lah)
               b)  Dialah di hati.(ayat songsang)

2)    Pendepanan sebahagian daripada predikat.

Bahagian-bahagian daripada predikat boleh mengalami proses pendepanan secara berasingan, iaitu :

a)     Pendepanan frasa kerja.

Dalam proses ini, bahagian-bahagian dalam frasa kerja, iaitu kata kerja sahaja, kata kerja dengan objek atau kata bantu dengan kata kerja boleh mengalami proses pendepanan. Perhatikan contoh-contoh berikut :

i)                   Pendepanan kata kerja sahaja.

(a)  Dia terduduk di situ.
(b) Terduduk dia di situ.

(a)  Mereka bertengkar setiap hari.
(b) Bertengkar mereka setiap hari.


ii)                 Pendepanan kata kerja dengan objek.

(a)  Sampah sarap itu dibakarnya.
(b) Dibakarnya sampah sarap itu.

(a)  Dia membaca buku di rumah.
(b) Membaca buku dia di rumah.

iii)               Pendepanan kata bantu dengan kata kerja.

(a)  Guru itu sedang mengajar.
(b) Sedang mengajar guru itu.

(a) Budak-budak itu masih bermain.
(b) Masih bermain budak-budak itu.



Jawapan: a) Aku sedang ingin bercinta.(ayat biasa)
                        b)   Sedang ingin bercinta aku.(ayat songsang)

b)    Pendepanan frasa adjektif.

Dalam ayat susunan biasa, kata adjektif hadir dalam konstituen predikat, yang letaknya sesudah konstituen subjek, tetapi susunan tersebut telah diterbalikkan dengan meletakkan frasa adjektifnya di bahagian hadapan ayat, iaitu mendahului subjek. Bahagian-bahagian yang boleh dikedepankan ialah kata adjektif sahaja atau kata bantu dengan kata adjektif. Contoh-contohnya adalah seperti berikut :

i)                   Pendepanan kata adjektif sahaja.

(a)  Dia sakit pada masa itu.
(b) Sakit dia pada masa itu.

(a)  Orang itu bijak.
(b) Bijak orang itu.

ii)                 Pendepanan kata bantu dengan kata adjektif.

(a)  Pesakit itu sedang sakit tenat.
(b) Sedang sakit tenat pesakit itu.

(a)  Barang itu belum tentu baik.
(b) Belum tentu baik barang itu.

c)     Pendepanan frasa sendi nama.

Proses ini mengalihkan unsur frasa sendi nama ke bahagian hadapan, iaitu mendahului subjek. Frasa sendi nama ini dalam susunan ayat biasa hadir pada konstituen predikat, sama ada sebagai predikat frasa sendi nama atau sebagai keterangan dalam predikat :

i)                   Frasa sendi nama sebagai predikat.

(a)  Surat itu daripada Ali.
(b) Daripada Ali surat itu.

(a)  Barang-barang itu untuk ibu. 
(b) Untuk ibu barang-barang itu.



 Jawapan: a) Kau cari cinta yang telah hilang      untuk apa.(ayat biasa)
               b) Untuk apa kau cari cinta yang telah hilang.(ayat songsang)



ii)                 Frasa sendi nama sebagai keterangan dalam predikat.

(a)  Saya berpegang pada janji.
(b) Pada janji saya berpegang.

(a)  Kaum Muslimin wajib bertawakal kepada Allah.
(b) Kepada Allah kaum Muslimin wajib bertawakal.


Jawapan: a) Aku berserah kepadamu kekasih.(ayat biasa)
              b) Kepadamu kekasih aku berserah.(ayat songsang)